Jumaat, 25 Mac 2016
1:48 PG
1:48 PG
Memang ‘sakit’ sekali emosi yang terpaksa ditanggung di saat terpaksa berpisah dengan insan tersayang. Hidup dirasakan umpama tiada erti lagi. Ingin dibuang sejauh-jauhnya kenangan yang ada. Namun, ada sahaja bayangnya mengekori. Segalanya tentang si dia yang telah pergi meninggalkan diri terkapai-kapai mencari haluan dan kekuatan. Perpisahan kerana tidak lagi sehaluan mahupun kematian, kedua-duanya menyakitkan. Tidak salah jika kamu mahu menangis. Menangislah sepuas-puas hatimu jika itu boleh membantu meredakan resah di hati
Berdepan Realiti
Sesungguhnya kepercayaan yang perlu disemat dalam setiap hati kamu ialah menerima segala ketentuan yang telah diaturkan untuk kamu lalui. Yakinlah bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya di kemudian hari. Perancangan Allah SWT itu cukup cantik. Sama ada cepat atau lambat, anda pasti akan mengakuinya suatu hari nanti.
Menangislah sepuas hati kamu jika ia mampu meringankan bebanan perasaan yang ditanggung. Tetapi, jangan biarkan perasaan itu berterusan menguasai hati dan fikiranmu. BANGKIT! Masih banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab terhadap keluarga mahu pun diri. Hidup tetap perlu diteruskan. Aturlah langkah, corak kembali perjalanan hidup tanpa si dia kerana tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.
Sibukkan Diri
Apa pun punca perpisahan, ‘menyibukkan diri’ terbukti sangat membantu kamu untuk melupakan si dia. Penuhi jadual harian dengan perkara-perkara berfaedah seperti beriadah atau berlibur bersama teman. Berkongsi cerita dan bergelak ketawa adalah penawar semula jadi yang ramai tidak sedar akannya kerana mengasingkan diri, diam dalam kesedihan lebih cenderung menjadi pilihan.
Ingat, seboleh-bolehnya elakkan daripada duduk bersendirian kerana ia boleh membuatkan anda terkenang kembali kenangan bersama. Selain itu, mohonlah doa dalam setiap solat supaya dilapangkan dada serta dihindarkan segala keresahan hati.
‘Simpan’ Hadiah/Pemberian
Simpan yang dimaksudkan ialah BUANG dan simpan dengan baik di suatu tempat yang boleh kamu dapatkannya kembali pada ketika kamu sudah boleh menerima kenyataan dan sekali sekala untuk melepaskan rasa rindu. Jika perpisahan yang disebabkan kematian, mana mungkin kamu mahu membuang segala pemberiannya, bukan? Simpan, mungkin ada masanya kamu perlukannya untuk melepaskan rasa rindu.
Jika sebaliknya, lebih-lebih lagi jika si dia berpaling arah… rasanya kamu boleh lupuskan semua itu daripada pandangan mata kerana melihatnya lagi boleh membuatkan hati bertambah sakit dan lebih parah bertukar menjadi dendam. ‘Rugi’ sungguh tatkala si dia sedang bergembira dengan pilihan hati, tetapi kamu pula sedang meratap sedih kerana ditinggalkan.
Beri Peluang
Beri peluang kepada diri sendiri untuk mengenali insan lain. Bersikap adillah dengan dirimu, ya. Kamu juga berhak untuk merasai bahagia begitu juga dengan insan yang turut mengharapkan balasan daripada kamu. Usah memaksa diri, lakukannya perlahan-lahan.
Jika hati sudah tawar untuk proses mengenali, rujuk sahaja orang tuamu. Mereka lebih arif menilai apa yang terbaik buatmu. Mungkin juga jodoh pilihannya adalah tepat. Siapa tahu, bukan? Ingat, perancangan Allah SWT adalah yang paling indah!
Kadang-kadang kita lepaskan seseorang itu pergi bukan sebab tak sayang,Mungkin nanti dia akan lebih bahagia dengan orang lain.Atau mungkin Allah akan aturkan kita dan dia bertemu lagi, bernikah, dan seterusnya terus bercinta menuju redhaNya.
Mungkin juga pertemuan semula itu tak berlaku di Dunia, tapi nanti, di JannahNya.
Label: Info&Tips.